Followers

Wednesday 21 May 2014

Pekerja asing bayar kos levi sepenuhnya.. 2013/01/31

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pekerjaasingbayarkoslevisepenuhnya/Article/

Kuala Lumpur: Kabinet semalam memutuskan bahawa bayaran levi pekerja asing kini perlu ditanggung sepenuhnya oleh tenaga kerja itu dan bukan lagi majikan, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar), berkata dasar itu turut membabitkan pekerja asing yang baru atau mereka yang ingin memperbaharui pas kerja, pas penggajian atau pas lawatan (kerja sementara). 

Katanya, keputusan itu bagi meringankan beban kos dihadapi khususnya majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum bermula tahun ini.

Beliau berkata, langkah kerajaan mengenakan levi kepada pekerja asing tidak akan membebankan mereka kerana kadar perlu dibayar oleh golongan terbabit adalah antara RM34.16 hingga RM154.16 sebulan berbanding peningkatan gaji secara umumnya antara RM300 hingga RM500 (sebulan).

Kutipan levi pekerja asing diperkenalkan sejak 1992 dan ditanggung sepenuhnya oleh golongan itu. Pada prinsipnya, levi dikenakan bagi menampung perbelanjaan besar ditanggung kerajaan ke atas kemudahan awam seperti klinik, jalan raya dan perkhidmatan lain yang dinikmati mereka bersama warga Malaysia.

Bagaimanapun, mulai 1 April 2009, kerajaan memutuskan supaya levi berkenaan ditanggung sepenuhnya majikan dan bukannya pekerja asing bertujuan mengawal penggajian tenaga kerja terbabit yang terlalu ramai ketika itu.

Baru-baru ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan supaya pembayaran levi tidak lagi ditanggung majikan tetapi warga asing berikutan jangkaan kenaikan besar pembayaran gaji disebabkan pelaksanaan gaji minimum.
 
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata dengan pelaksanaan dasar gaji minimum kos tambahan yang perlu ditanggung majikan membabitkan pekerja asing dianggarkan RM8.4 bilion setiap tahun.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, pelaksanaan gaji minimum yang turut meliputi pekerja asing meningkatkan gaji semua tenaga kerja secara puratanya antara 30 hingga 50 peratus daripada purata gaji RM600 hingga RM700 sebulan kepada RM900.

“Dengan pelaksanaan (gaji minimum), semua pekerja termasuk pekerja asing akan dapat faedah lain seperti jumlah gaji kerja lebih masa, menjadikan pendapatan keseluruhan secara purata mencapai RM1,200 hingga RM1,500 sebulan,” katanya. 
 
~admin: Sunway_Andaraya (M) Sdn Bhd. ~

No comments:

Post a Comment