Followers

Friday 23 May 2014

TIDAK LEPAS HULUR MYKAD ...

 Source: Harian Metro 23/05/2014

Melaka: “Saya orang Malaysia, MyKad ini dibuat di Sabah ketika berusia 18 tahun,” kata seorang wanita ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen negeri di sebuah hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, rahsia wanita dipercayai warga Indonesia berusia 27 tahun itu menggunakan MyKad palsu terbongkar selepas semakan anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka mendapati nombor dokumen pengenalan diri itu tiada dalam rekod jabatan berkenaan.

Lebih mengejutkan, dia yang mengaku warga tempatan berasal dari Penampang, Sabah memaklumkan memasuki Semenanjung enam tahun lalu ketika berusia 21 tahun menggunakan pasport Indonesia.
Wanita itu adalah antara 47 warga asing termasuk lapan wanita disyaki pelacur berusia antara 20 hingga 47 tahun yang ditahan dalam operasi di empat lokasi berasingan di bandar raya ini selama 17 jam berakhir jam 6 petang, kelmarin.

Operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri Mohd Sabri Ismail bersama 37 anggota termasuk JPN dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dijalankan di masing-masing sebuah pusat hiburan dan tapak pembinaan di Melaka Raya serta dua hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah.

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hasan berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai bekerja sebagai pelacur di hotel bajet berkenaan dan mampu melayan sehingga 17 pelanggan sehari dengan bayaran RM30 bagi setiap sesi.

Foto 

“Ketika ditahan dia menunjukkan MyKad kelihatan seperti dokumen tulen, namun curiga kerana hanya namanya saja tertera tanpa nama bapa, anggota JPN melakukan semakan dan mendapati nombor MyKad itu tiada dalam rekod jabatan.

“Dia mengaku warga tempatan dan membuat MyKad itu di Sabah ketika berusia 18 tahun sebelum datang ke Semenanjung menggunakan pasport Indonesia pada usia 21 tahun, selain mempunyai ibu bapa dan seorang anak berusia tiga tahun di negeri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini, semalam.

Menurutnya, wanita itu diserahkan kepada JPN dan disiasat mengikut Seksyen 25(1)(e), Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

~Admin: Sunway_Andaraya (M) Sdn Bhd~

No comments:

Post a Comment